Peniaga ayam tidak boleh naik harga sesuka hati - Utusan Malaysia

Peniaga ayam tidak boleh naik harga sesuka hati

Peniaga tidak boleh manaikkan harga ayam sesuka hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang dilaksanakan ketika musim perayaan besar di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,  pihak kementerian sebaliknya menggunakan pendekatan baharu membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga. 

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah selain memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya. 

“Jika peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memanipulasi harga di semua peringkat rantaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan dapat diminimumkan dan terurus.

Ini termasuk, katanya,  harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran.

“Hasil analisis awal mendapati berlaku peningkatan terhadap kos bagi bahan-bahan utama makanan (dedak) ayam yang meningkat hampir beberapa kali sepanjang tahun ini iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah. 

“Dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport daripada negara pengeluar luar negara,” katanya.

Pada masa sama, KPDNHEP mencadangkan supaya pihak penternak memberi kerjasama supaya harga anak ayam tidak dinaikkan mendadak dalam julat masa singkat bagi mengelakkan berlaku tekanan harga di peringkat borong dan runcit ketika ini.

“Pengguna terus disarankan menggunakan Aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan dan membuat perbandingan harga barang keperluan, termasuk ayam yang dijual di premis berhampiran dalam radius 10 kilometer bagi tujuan pembelian yang terancang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN