Pengusaha kedai runcit, kenalan didakwa seludup migran dalam kuarters - Utusan Malaysia

Pengusaha kedai runcit, kenalan didakwa seludup migran dalam kuarters

JAPERI NOOR dan ROHANI dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menyeludup migran di kuarters penjawat awam di Putrajaya. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang wanita warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh migran dari negara jiran itu di sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya, Jun lalu.

Bagaimanapun Jafperi Noor, 54; dan kenalannya, Rohani, 49; minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa atas niat bersama menjalankan penyeludupan migran ke atas enam lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya warga Indonesia berusia antara 24 dan 51 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah kediaman kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17,  Presint 17 pukul 10.15 malam pada 22 Jun lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia Nor ‘Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Farhan Maarof yang mewakili Jafperi memohon mahkamah memberikan jaminan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh yang mengusahakan kedai runcit di Kelantan adalah bapa empat orang anak berusia 19 dan 29 tahun serta tidak pernah mengganggu mana-mana saksi,” kata peguam itu.

Sementara peguam  K. Vijeyni yang mewakili Rohani tidak membuat sebarang permohonan terhadap ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah jaminan sehingga peguam memfailkan permohonan secara bertulis berkaitan ikat jamin.

Tarikh 14 Oktober ditetapkan untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.