PUTRAJAYA : Penggubalan Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) tetap menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kementerian ketika ini sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen yang dijangkakan pada tahun ini juga.
Menurut beliau, walaupun RUU itu masih di dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan lain.
Ini katanya, termasuklah Akta Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.
“KPWKM menyedari wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu under-reporting kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Justeru, draf RUU AGS telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dengan penyertaan pelbagai pihak daripada wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan, badan-badan bukan kerajaan serta ahli-ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Rina berkata, kementerian juga turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Prolintas, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia serta Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS.
“Draf ini telah mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari lepas bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul,” katanya.
RUU berkaitan gangguan seksual sepatutnya siap pada Mac lepas sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, namun, masih tertangguh berikutan penangguhan persidangan Parlimen ekoran faktor perundangan dan data pandemik Covid-19 ketika ini. -UTUSAN ONLINE