KUALA LANGAT: Penduduk yang terbabit dengan gangguan air di Lembah Klang kecewa apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mengalami henti tugas sekali lagi selepas berlaku pencemaran bau terbaharu kelmarin.
Mereka yang mengalami gangguan sejak Selasa lalu asalnya mula menarik nafas lega apabila bekalan air mulai pulih sejak Khamis lalu setelah bacaan sifar ton pencemaran bau dicatatkan.
Seorang peniaga di Kampung Seri Cheeding, Hussaini Shoib,43, berkata, masalah bekalan air yang berlaku menyebabkan urusan seharian tergendala dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu atau kilang yang menyebabkan pencemaran.
“Kejap ada kejap tiada bekalan air di kampung ini. Nasib baik bantuan bekalan air dari Air Selangor tiba segera.
“Penduduk berharap pihak yang mencemar sumber air diambil tindakan tegas kerana masalah ini telah berlarutan terlalu lama.
“Kalau sudah kenalpasti kilang tersebut, sepatutnya terus ambil tindakan sebab masalah berulang dalam masa yang singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu akhbar ini melaporkan sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang termasuk empat daerah dalam Selangor serta Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran yang berlaku.
Gangguan itu ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir apabila bacaan pencemaran bau tiga ton dikesan, sebelum pulih beberapa jam selepas itu..
Namun gangguan bekalan air kembali berulang semalam berikutan pensampelan ujian mendapati bau seakan pelarut dikesan pada aliran air berhampiran sebuah kilang di sekitar Sungai Rinching iaitu 16 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian mengesahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati berlaku insiden pencemaran bau di aliran air sungai berkenaan.
Sementara itu, peniaga makanan di Kampung Sungai Manggis, Mohammad Zahir Firdaus Zakiyuddin, 25, berkata, masalah air yang berlaku beberapa hari lalu menyebabkan dia terpaksa menggunakan air galian untuk berniaga.
“Semalam aliran air sudah mula kecil keluar dari kepala paip. “Pagi tadi langsung tidak meleleh menyebabkan saya terpaksa pergi ke Banting membeli air galian dalam jumlah yang banyak,” luahnya.
Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan air di semua 463 kawasan di Lembah Klang yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya Isnin ini.
Air Selangor berkata, bekalan air bersih mula disalurkan secara berperingkat kira-kira pukul 6 petang semalam. – UTUSAN ONLINE










