JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik langkah kerajaan negeri melaksanakan reformasi Dewan Negeri Johor mengikut kesesuaian dan keperluan bertujuan untuk kesejahteraan rakyat.
Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, antara inisiatif itu termasuklah menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di peringkat Dewan Negeri pada masa hadapan.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad juga telah menyatakan komitmen untuk tujuan berkenaan.
“Sikap dan pendekatan berjiwa besar yang tidak boleh dinafikan ada pada Menteri Besar ini diharap menarik kerjasama barisan pembangkang tanpa perlu lagi bermain politik.
“Dengan berbekalkan dua contoh teladan dan keprihatinan pemimpin negeri ini, Johor diharap mampu bangkit semula dan menjadikan negeri ini kembali pulih pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kelmarin, Hasni memberitahu Johor akan melibatkan wakil rakyat pembangkang dalam merangka dasar sosial dan ekonomi baharu untuk negeri ini pasca Covid-19.
Beliau dilaporkan berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar.
Tambah Mohd. Hairi lagi, pihaknya juga menyeru rakyat negeri ini untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 ketika ini.
“Ini bagi memastikan pemulihan ekonomi, sistem pendidikan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri dapat kembali seperti sediakala seperti sebelum adanya pandemik ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE