PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk melaksana Transformasi Parlimen namun percaya usul undi percaya terhadap Ismail Sabri masih perlu dilakukan.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH terus akan memperjuangkan isu rakyat dan menyokong sebarang usaha prorakyat terutama ketika negara masih dilanda wabak Covid-19.
“Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program prorakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman.
“Dalam isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, PH melihat bahawa masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.
Titah itu adalah bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Anwar berkata PH turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.
Terdahulu, Ismail Sabri telah mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Katanya, transformasi itu selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
Usaha perdana menteri itu adalah seiring dengan perbincangan beliau dengan Majlis Pimpinan PH sebelum ini namun Anwar menjelaskan pembangkang akan terus lantang terutama di Parlimen nanti bagi terus memperjuangkan hak rakyat.
“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat.
“Ini adalah satu permulaan yang baik susulan daripada pertemuan saya dan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE