PUTRAJAYA: Ratusan penghuni di empat blok Fasa 4B, Presint 8 di sini hairan apabila kawasan lapang di perumahan berkenaan didakwa akan dibina bangunan parkir bertingkat.
Lebih menimbulkan kemusykilan, cadangan pembinaan itu kononnya ada dimohon oleh sebuah persatuan penduduk yang tidak diketahui mewakili siapa dan bukan persatuan penduduk di situ.
Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C Fasa 4B, Bakhtiar Anuar Md. Amin, 47, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, penghuni kawasan itu juga tidak pernah mengadu kesesakan parkir.
“Kami pelik, sejak flat ini dibuka pada tahun 2000 lalu dengan saya sendiri antara penghuni yang terawal, belum pernah pun berlaku kesesakan parkir amat kritikal,” katanya berterus terang.
Beliau memberi contoh beberapa kawasan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Putrajaya yang memang kritikal kekurangan parkir sehingga penuh laluan di bahu jalan besar.
Sebaliknya, PPAM itu yang merupakan kawasan perintis didiami apabila Wilayah Persekutuan ketiga ini dibuka, langsung tiada isu parkir tidak cukup, malah ada banyak lagi petak kosong.
Situasi janggal itu ujarnya, mencetuskan tanda tanya kerana penduduk dan persatuan sendiri tidak pernah selama ini dipanggil berunding pembinaan parkir setinggi dua tingkat tersebut.
“Turut dikesali, tapak pembinaan ini ‘rampas’ dataran lapang yang lazim digunakan penduduk bagi pelbagai kegiatan komuniti dan riadah selain aktiviti kenduri,” jelasnya dalam nada sedih.
Paling tidak dapat diterima, sudahlah akan kehilangan puluhan petak parkir sepanjang tempoh pembinaan selama dua tahun, mereka terpaksa menempuh jalan belakang dan tidak selamat.
Laluan bertangga itu bukan sahaja curam yang tidak sesuai bagi Orang Kurang Upaya, warga emas dan wanita hamil, bahkan amat jauh untuk kanak-kanak di situ berulang-alik ke sekolah.
Pembinaan bangunan itu juga dijangka mengundang masalah kepada penduduk apabila bakal berdepan isu kekurangan tempat parkir selain menyukarkan jentera bomba dan ambulans jika berlaku kecemasan.
“Kami juga terkejut kerana kontraktor dakwa kononnya ada persatuan penduduk mohon bina bangunan ini, walhal tiada bukti dimohon oleh mana-mana persatuan pun,” tegas Bakhtiar Anuar
Beliau mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan projek prasarana itu apabila penduduk langsung tidak dibabitkan bersama untuk memberi pandangan atau menyuarakan bantahan.
Bahkan beliau berasa aneh, apabila menghantar memorandum bantahan pada pagi Selasa lalu, secara tiba-tiba sebelah petang dipacak papan notis makluman projek pembinaan tersebut.
Ini katanya, menimbulkan persoalan kemungkinan ada ‘orang dalam’ Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertindak balas kerana marah diprotes penduduk.
“Saya tidak tolak kebarangkalian untuk bawa kes ini ke mahkamah bagi halang projek, tetapi bagi saya adalah paling baik jangan dibina dahulu agar semua boleh duduk bincang,” ujarnya.
Langkah ini jelas Bakhtiar Anuar, lebih harmoni daripada projek itu dihentikan pula atas perintah mahkamah ketika dalam pembinaan sehingga ‘cacat’ pemandangan kawasan berkenaan.
Ia juga sejajar slogan Keluarga Malaysia yang dicanangkan kerajaan pada ketika ini bagi tidak meminggirkan rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah B40 di PPAM berkenaan. -UTUSAN ONLINE