Peguam Negara terima kertas siasatan kehilangan AS$6.94 juta - Utusan Malaysia

Peguam Negara terima kertas siasatan kehilangan AS$6.94 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan kes kehilangan wang AS$6.94 juta (RM29 juta) membabitkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada agensi itu semalam.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memberitahu, pihaknya akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ia sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” katanya semalam.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat berkaitan isu berkenaan.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis selepas SPRM menahan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Hasil siasatan SPRM ke atas tiga pegawainya telah membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kende­raan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta dan kesemua harta yang disita ialah sebuah rumah di Sela­ngor, dua buah motosikal jenis Ducati, kereta Mercedes Benz (1) dan Honda Type R (1).

Rumah dan semua kende­raan tersebut dipercayai milik kepada pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.

Utusan Malaysia, sebelum ini turut mendedahkan selain harta-harta berkenaan, SPRM turut menemukan wang tunai RM50,000 dan beberapa buah kereta mewah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penguasa kanan berkenaan turut disyaki terlibat dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah namun setakat ini pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×