PDRM teruskan pemantauan - Utusan Malaysia

PDRM teruskan pemantauan

Hazani Ghazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai perlu berwaspada dan berhati-hati sewaktu menjalani aktiviti sosial berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap melaksanakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi tumpuan pengunjung dari semasa ke semasa.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi kelicinan tugas pemantauan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali memberitahu Utusan Malaysia, beliau berpuas hati dengan kawalan kendiri dan SOP yang diamalkan orang ramai sejak kelonggaran merentas daerah di Lembah Klang bermula Jumaat lalu.

“Keadaan terkawal dan masyarakat dilihat sentiasa mengamalkan 3W dan mengelakkan 3C dalam memutuskan rantaian dan penularan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 720 kompaun telah dikeluarkan pada Khamis sehingga semalam di seluruh negara melibatkan kesalahan tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 kompaun dikeluarkan di sekitar Lembah Klang pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Selain itu, sebanyak 1,677 pemeriksaan juga telah dilakukan di premis-premis tumpuan awam seperti restoran, pasar raya, pasar awam dan tempat riadah semalam,” jelasnya ringkas.

Terdahulu, kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat lalu, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.

Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN