GEORGE TOWN: Pasar Awam dan Kompleks Makanan Farlim di Bandar Baru Air Itam dekat sini diarah tutup serta-merta hari ini selepas 18 kes positif Covid-19 melibatkan peniaga dan pekerja di situ dikesan di pasar berkenaan.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), penutupan itu adalah untuk memudahkan kerja pembersihan dan mencegah penyebaran virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
“Penutupan ini melibatkan 159 gerai di pasar dan 22 gerai di kompleks makanan.
“Orang ramai diminta mengambil perhatian mengenai penutupan pasar ini dan kami menasihatkan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk membendung penyebaran Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pasar Awam Batu Lanchang turut diarahkan ditutup semula setelah beberapa peniaga dan pekerja dijangkiti Covid-19.
Dalam pada itu, MBPP juga menyarankan persatuan pasar dan kompleks makanan untuk melaksanakan kawalan pengunjung di pasar serta kompleks makanan.
“Individu berisiko tinggi yang ditunjukkan dalam aplikasi MySejahtera tidak akan dibenarkan masuk ke pasar dan kompleks makanan.
“Tindakan tegas, termasuk penutupan premis akan diambil terhadap premis yang gagal mematuhi SOP,” katanya. -UTUSAN ONLINE










