KUALA LUMPUR: Dasar-dasar kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang memansuhkan pelbagai bantuan bagi golongan berpendapatan rendah untuk tiga tahun berturut-turut mencatatkan rekod paling rendah dalam sejarah.
“Di bawah kerajaan BN, tempoh sebelum PRU-14 ialah tempoh Pekali Gini menjunam paling tajam atau paling ketara apabila dasar-dasar seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan-bantuan lain seperti bayaran bulanan kepada nelayan, bantuan persekolahan dan bantuan antara musim bagi pekebun kecil dan pesawah padi, diperkenalkan.
“Disamping itu, kadar pelaburan asing yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Manakala, pelaksanaan Sistem Percukaian GST memberi kesan lebih besar kepada golongan kaya dan ekonomi gelap yang berbelanja lebih banyak. Mereka tidak lagi mudah untuk mengelak cukai seperti sistem percukaian SST,” kata Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Najib turut berkata, menggantikan sistem cukai GST dengan SST menyebabkan pertumbuhan pendapatan golongan paling kaya (T20) menjadi lebih tinggi berbanding golongan M40 dan B40 buat kali pertama sejak 10 tahun lalu.
“Akibatnya kesan daripada itu, Pekali Gini naik semula dan mencerminkan jurang pendapatan semakin melebar.
“Memandangkan Pekali Gini ini pernah turun dari 0.441 ke 0.399 dalam masa 9 tahun sebelum naik semula selepas PRU14, adalah tidak mustahil bagi sasaran Pekali Gini pada 0.387 di bawah RMK-12 ditepati,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut berkata, hasutan bermotif politik yang membawa kepada pemansuhan sistem cukai GST telah menghalang hasrat rancangan kerajaan BN dahulu untuk terus mengurangkan kadar cukai korporat Malaysia secara berperingkat-peringkat sehingga 17 peratus.
“Malangnya, negara-negara jiran kita yang kesemuanya melaksanakan cukai GST telah berjaya menurunkan cukai korporat mereka ke paras lebih rendah daripada negara kita, menjadikan Malaysia sebuah negara dengan cukai perniagaan paling tinggi di ASEAN.
“Seperti sedia maklum, sistem percukaian GST adalah lebih saksama dan progresif. Semakin banyak yang kita belanja, semakin banyak yang kita bayar. Hasil daripada cukai GST ini mampu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan peribadi,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE