SHAH ALAM: Masyarakat Orang Asli Kampung Busut Baru, Kuala Langat mendakwa pernah didesak supaya bersetuju dengan cadangan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Desakan itu dikatakan berlaku selepas satu bantahan dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) termasuk isu pewartaan 404.7 hektar tanah yang dijanjikan ketika berpindah dari kawasan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hampir 30 tahun lalu.
Hal itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Senin yang memberitahu, pihaknya menghantar bantahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berhubung dua perkara termasuk isu nyahwarta HSKLU pada tahun lalu.
“Ya, kampung menghantar surat bantahan melibatkan dua isu sebelum ini iaitu bantahan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui HSKLU dan kampung menerusi surat bertarikh 11 Februari 2020 dan aduan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) JAKOA.
“Tiada jaminan atau penyelesaian diberikan, sebaliknya selepas itu JAKOA berjumpa secara senyap pada 10 Jun 2020 di rumah Tok Batin dan Pengerusi supaya akur dan bersetuju dengan cadangan nyahwarta HSKLU tanpa ada perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar Mingguan Malaysia mendedahkan masyarakat Orang Asli suku Temuan itu seperti ‘kena main’ sebanyak dua kali.
Ini kerana sebelum tercetus kontroversi nyahwarta di Kuala Langat, etnik tersebut kira-kira 30 tahun lalu ‘dipaksa’ berpindah dari kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 404.7 hektar di Sepang yang kini menjadi KLIA.
Belum pun selesai mengenai jaminan pewartaan tanah gantian, timbul pula isu nyahwarta HSKLU selepas dimaklumkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian menangguhkan keputusan penangguhan penyahwartaan HSKLU dan akan membawa isu tersebut dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini. – UTUSAN ONLINE










