‘Nelayan dan ikan lumba-lumba ibarat keluarga' - Utusan Malaysia

‘Nelayan dan ikan lumba-lumba ibarat keluarga’

SYAMIL ABD. RAHMAN (kanan) bersama ahli PNW serta nelayan menyelamatkan ikan lumba-lumba terdampar di Kuala Perlis, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bagi golongan nelayan, kelibat ikan lumba-lumba bermain di sekitar bot di perairan Kuala Perlis, dekat sini sudah menjadi kebiasaan sejak sekian lama.

Bagi mereka, hubungan dengan ikan lumba-lumba sudah diibarat seperti ‘keluarga’ apabila masing-masing berkongsi rezeki di laut dan spesies itu tidak mengundang bahaya kepada manusia.

Mamalia tersebut sering kelihatan bermain-main dan mengikut bot nelayan ketika mereka turun mencari ikan, namun dianggap bijak kerana pandai mengelak dari terkena kipas enjin serta pukat nelayan.

Pengerusi Komuniti Perikanan (myKP), Husin Ya yang menjadi nelayan sejak 1974 berkata, dia sudah biasa dengan ikan lumba-lumba dan kelibat spesies berkenaan selalu berada berhampiran bot mereka.

Katanya, kelibat ikan berkenaan kerap kelihatan ketika musim barat daya antara September hingga Disember.

“Ikan lumba-lumba mencari sumber makanan yang mana pada musim ini terdapat banyak ikan kembung yang berada di kawasan satu batu nautika dari pesisir pantai. Ikan lumba-lumba dan nelayan seperti keluarga dan kami tak ada masalah dengan ikan ini.

“Mereka sangat pandai , jika ikan lumba-lumba ini datang dekat dengan bot nelayan, ia pandai mengelak dari terkena pukat. Bukan itu sahaja, mereka juga pandai ambil dan makan ikan yang lekat di jaring tanpa menyebabkan pukat itu terkoyak.

“Kes ikan lumba-lumba terdampar di pesisir pantai banyak ini pula banyak berlaku sejak tahun 2010,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis Selatan, Razak Saad berkata, nelayan di sini akan memaklumkan kepada pengerusi myKP apabila terdapat ikan lumba-lumba yang terdampar di pesisir pantai sebelum mereka berhubung dengan pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Perikanan.

“Apabila dapat tahu mengenai kejadian seperti ini, kami sama-sama membantu untuk membawa semula ikan ini ke laut kerana jika dibiarkan begitu sahaja, ikan ini akan mati.

“Bagi kes Jumaat lalu (ikan lumba-lumba terdampar) mungkin anak ikan tersebut naik dulu dan ibunya pula mengikuti tetapi tidak sempat pulang ke laut apabila air surut dengan cepat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN