KOTA KINABALU: Walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang namun, parti itu menolak cadangan pendaftaran pengundi secara automatik.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, mereka mahu agar daftar pemilih di Sabah dibersihkan daripada pendatang tanpa izin (PTI) sebelum pendaftaran pengundi automatik dilaksanakan.
Walaupun keputusan pembangkang untuk menyertai kerjasama ini lewat tiga minggu, namun, ‘biar lambat asal selamat’.
Beliau berkata, PBS sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama berkaitan MA63 yang tidak disentuh oleh PH semasa mereka berkuasa.
“Misalnya isu PTI di Sabah, pemberian dokumen meragukan yang tidak dapat diselesaikan, status warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci serta isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan ketara terutama di kawasan luar bandar di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, keputusan PH menyokong kerjasama dwi-partisan itu penting bagi mencapai kestabilan dan transformasi politik di negara ini.
Biarpun keputusan kerjasama dwi-partisan ini berakhir sejak ia dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga minggu yang lalu.
“Sebagai Presiden PBS, saya juga turut menghulurkan jemputan kepada ahli Parlimen DAP, PKR, dan Warisan di Sabah untuk menyertai kerjasama transformasi ini, tetapi mereka menolak cadangan berkenaan pada masa itu,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, MoU yang dimeterai dengan PH itu merupakan satu kerjasama yang menitikberatkan semangat Keluarga Malaysia.
Malah, ia merangkumi rancangan untuk memerangi Covid-19, transformasi pentadbiran , reformasi Parlimen, memastikan kebebasan dalam sistem kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
“Saya mengalu-alukan kesediaan PH untuk menerima prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam MoU, terutama hal berkaitan MA63, undang-undang lompat parti, mengurangkan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, semasa MoU dimeterai, beliau yang hadir pada majlis itu sempat beramah mesra dengan ahli Parlimen pembangkang Sabah.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani MoU transformasi dan kestabilan politik bagi membantu membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE