PETALING JAYA: Kajian menyeluruh bagi menilai pencapaian objektif atau keberhasilan pelaksanaan dasar Dasar Approved Permit Terbuka Kenderaan (APTK) tidak dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tempoh tahun 2017 hingga 2020.
Perkara itu merupakan antara kelemahan yang perlu diberi perhatian seperti terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2.
Menurut laporan itu lagi, kementerian itu juga masih belum menetapkan indikator penilaian bagi pencapaian agenda ekonomi Bumiputera yang disasarkan di bawah Dasar Baharu APTK.
“Aspek pelantikan syarikat APTK kerana kelonggaran yang diberikan tidak selaras dengan dasar yang ditetapkan. Sebanyak tiga syarikat tidak melepasi syarat Bumiputera dan 28 syarikat tidak melepasi syarat kepentingan dalam syarikat yang lain dilantik sebagai syarikat APTK oleh MITI.
“Aktiviti kawalan pengimportan oleh MITI yang kurang cekap kerana tiada mekanisme kawalan terhadap ketibaan kenderaan di pelabuhan. Terdapat 12 permohonan APTK dibuat selepas kenderaan tiba di pelabuhan. Selain itu, terdapat perbezaan nama pengimport antara rekod pelabuhan dan sistem ePermit melibatkan empat kenderaan.
“Sebanyak 11 kenderaan lain tidak mempunyai APTK dan telah berada di Pelabuhan Klang (Utara) antara 17 hingga 38 bulan,” kata laporan berkenaan.
Tambah laporan sama lagi, aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula adalah tidak cekap di mana tindakan lewat diambil terhadap syarikat yang melakukan kesalahan dalam urusan pengimportan kenderaan.
Selain itu, pengenaan denda melalui tindakan mahkamah tidak dapat dilaksanakan dengan teratur kerana MITI belum menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menguruskan kes syarikat yang gagal menyelesaikan baki bayaran fi dalam tempoh ditetapkan.
Malah, tiada perancangan awal dan penetapan sasaran penguatkuasaan tahunan bagi pelaksanaan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan oleh MITI.
“Pemantauan oleh JKDM terhadap penyimpanan kenderaan dalam Gudang Berlesen masih dilaksanakan secara manual menyebabkan kutipan hasil cukai dan duti import tidak diuruskan dengan cekap.
“Tiada perkongsian maklumat antara MITI dan JKDM mengenai aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan penyimpanan kenderaan melebihi 48 bulan, tunggakan cukai kurang pungut, syarikat yang kerap dikuiri dan kompaun yang dikenakan kepada syarikat menyebabkan kawalan terhadap syarikat APTK tidak dapat dilaksanakan secara berkesan,” jelas laporan berkenaan. -UTUSAN ONLINE