PETALING JAYA: Tindakan kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing adalah tindakan tidak berasas.
Menurut Naib Presiden MIC, Datuk Sivarajah Chandran, tindakan kerajaan membelakangi keputusan tersebut adalah tidak berasas dan seolah-olah mencerminkan ketiadaan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak asasi wanita secara umumnya.
Katanya, rata-ratanya dari jumlah tersebut adalah golongan ibu berhajat untuk membesarkan anak mereka di Malaysia akibat pelbagai faktor, antaranya adalah perkahwinan yang gagal akibat konflik rumahtangga dan sebagainya.
“Akibat tindakan itu, hampir 5,000 permohonan oleh ibu-ibu dan ramai lagi yang belum memohon akan terus terbeban untuk mencapai hajat mereka untuk membesarkan anak mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.
“Keputusan tersebut mampu memberikan satu harapan baharu kepada hampir 5,000 lebih pemohon sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut statistik yang didapati melalui Hansard Parlimen, sebanyak 4,959 permohonan kewarganegaraan didapati sejak tahun 2013 hingga 2018.
Daripada jumlah tersebut, hanya 142 permohonan telah diluluskan manakala 3,715 permohonan telah ditolak. Bagi tempoh 2018-2019 pula, terdapat 2,253 lagi permohonan kewarganegaraan baru dibawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan yang diterima oleh kerajaan.
Sivaraajh Chandran berkata, ibu-ibu berhak untuk menganugerahkan taraf kewarganegaraan kepada anak mereka jika berkeperluan. Di dalam keputusan Mahkamah sebelum ini, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti merangkumi ibu.
Katanya, kerajaan perlu segera mempertimbangkan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan beban rakyat sekali gus memberi harapan baharu kepada mereka.
“Jika seseorang ayah berstatus warganegara dapat menganugerahkan kewarganegaraan secara automatik kepada anaknya, begitu jugalah sepatutnya kepada seseorang ibu.-UTUSAN ONLINE