MHO kemuka 5 tuntutan, desak kerajaan selesai isu tahanan Imigresen di Sabah - Utusan Malaysia

MHO kemuka 5 tuntutan, desak kerajaan selesai isu tahanan Imigresen di Sabah

PENGERUSI Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Mohd. Yusuf Azmi menyerahkan memorandum tuntutan dan desakan kepada Sharulmizan Rahmat di KDN, Putrajaya. - UTUSAN/SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengemukakan lima tuntutan dan desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu tahanan di depoh Imigresen dan masyarakat tidak bernegara (stateless) di Sabah.

 

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tuntutan tersebut demi membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan bertepatan dengan Perkara 3 ‘Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) yang menekankan bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

 

Beliau berkata, MHO menuntut agar satu tarikh yang jelas diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan itu.

 

“Kami juga memohon penggantungan operasi tangkapan pihak penguat kuasa terhadap golongan stateless di Sabah serta-merta hingga tarikh akhir penyelesaian isu ini.

 

“Semua tahanan golongan stateless di depoh imigresen perlu dibebaskan serta-merta di atas prinsip kemanusiaan sehingga tarikh akhir penyelesaian kerana kami tidak sanggup melihat penderitaan manusia yang ditahan dalam depoh berkenaan,” jelasnya.

 

Tambahnya lagi, MHO juga menuntut supaya KDN dan kerajaan negeri Sabah memberikan identiti khusus kepada golongan stateless itu mengikut kelayakan mereka dengan kadar segera atas dasar kemanusiaan.

 

“Kami juga mengemukakan cadangan pelaksanaan satu pas tunggal bagi golongan pelarian di Sabah dengan memurnikan rekod data warga asing yang dijalankan pihak Jabatan Ketua Menteri dan Pasukan Petugas Khas, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,” ujarnya.

 

Terdahulu, NGO berkenaan menyerahkan memorandum desakan dan tuntutan itu kepada Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat, KDN, Sharulmizan Rahmat mewakili kerajaan.

 

Turut sama pada majlis penyerahan yang dibuat didepan pintu masuk KDN Putrajaya ialah Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Sahabat-Sahabat Pejuang Nusantara. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya