PETALING JAYA: Pelancong yang mahu ke Langkawi menggunakan pesawat tidak perlu mendapatkan kebenaran mahupun mengemukakan surat polis.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri perlu mendapatkan surat kebenaran pihak polis.
“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat PDRM bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya (SJR),” katanya dalam Twitter beliau semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap penjelasan berkenaan dapat menjawab kekeliruan orang ramai mengenai keperluan kebenaran daripada pihak polis.
“Diharapkan penjelasan ini akan merungkaikan kekeliruan mengenai keperluan permit polis untuk ke Pulau Langkawi,” katanya.
Terdahulu, pelancong domestik seluruh negara yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) termasuk dari negeri berada dalam Fasa Satu Pelan
Pemulihan Negara (PPN) boleh mula mengunjungi Langkawi mulai 16 September ini.
Walau bagaimanapun, kebenaran itu tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Itu antara SOP bagi pembukaan semula destinasi pelancongan pertama negara, Langkawi mulai Khamis depan seperti diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut Nancy, pelancong yang ingin pergi ke Langkawi juga mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan udara dan darat.
Namun begitu katanya, pergerakan melalui jalan darat memerlukan pelancong menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri untuk ke Langkawi.
“Pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari Kedah dan Perlis serta menggunakan jalan udara pula tidak diwajibkan untuk menggunakan khidmat agensi pelancongan,” katanya.
Pada masa sama, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi. – UTUSAN ONLINE










