Masuk ke Tioman melalui Jeti Tanjung Gemok - Utusan Malaysia

Masuk ke Tioman melalui Jeti Tanjung Gemok

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengawal pergerakan keluar dan masuk pelancong ke Pulau Tioman dengan pembukaan satu laluan sahaja ke pulau peranginan itu melalui jeti Tanjung Gemok di Rompin dekat sini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, tindakan itu antara usaha bagi mengelak berlakunya penularan wabak Covid-19 di pusat peranginan itu.

 

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri sudah bersetuju membuka gelembung pelancongan domestik ke pulau peranginan itu, namun, pusat pelancongan itu perlu dikekalkan sebagai destinasi selamat.

 

“Setakat ini, tidak ada laluan udara untuk ke Pulau Tioman dan jika melalui darat pelancong digalakkan melalui ejen pelancongan… dan, mereka perlu pergi ke jeti Tanjung Gemok di Rompin.

 

“Kita harap jeti ke Pulau Tioman di Mersing ditutup buat sementara waktu ini memandangkan dengan pembukaan dua laluan menyukarkan kawalan kemasukan dari segi angka.

 

“Malah, jika terdapat sebarang jangkitan Covid-19, sukar juga untuk dipastikan sama ada ia merupakan kemasukan sama ada dari Rompin atau Mersing,” katanya di sini hari ini.

 

Terdapat kira-kira 103 bilangan hotel di Pulau Tioman yang berdaftar dengan kapasiti 1,821 bilik serta 30 pusat selam skuba dan 88 pemandu bot telah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi. 

 

Sementara itu, Mohd. Sharkar memberitahu, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan agar semua sektor pelancongan khususnya membabitkan pulau di seluruh Timur Semenanjung dibuka dalam masa terdekat. 

 

Katanya, cadangan itu dibuat kerana sektor pelancongan di pulau bakal berdepan penutupan akibat musim angin monsun, Disember depan.

 

“Bukan hanya Pulau Tioman sahaja dibuka, tetapi, semua pulau di Timur Semenanjung seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan di beberapa negeri lain juga mesti dibenarkan beroperasi segera. 

 

“Ini kerana hanya tempoh dua bulan iaitu Oktober dan November sahaja pelancongan dibenarkan melancong di kawasan peranginan itu… Disember hingga Mac sektor pelancongan di kawasan terbabit ditutup disebabkan musim Monsun,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN