BUTTERWORTH: Seorang lelaki pekerja swasta di sini rugi sebanyak RM13,300 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket yang menawarkan perkhidmatan seks secara online semalam.
Mangsa berusia 30-an itu dikatakan terjerat dalam penipuan tersebut selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan oleh wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh individu lain yang mendakwa ejen melalui aplikasi WeChat.
Ujarnya, mangsa diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda di sini.
“Lelaki itu turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi sejurus dia membuat pembayaran tersebut dan tampil membuat laporan polis semalam.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN ONLINE