KEMAMAN: Program vaksinasi Covid-19 membabitkan lebih 10,000 komuniti Felda di negeri ini dan Pahang bakal selesai pada akhir bulan ini.
Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd. Banuri Aris berkata, jangkaan itu selaras dengan pelaksanaan program outreach yang digerakkan di empat wilayah sejak awal bulan lalu meliputi Felda Mempaga, Jengka dan Kuantan di Pahang di samping di Wilayah Terengganu.
“Ini antara inisiatif kita bagi memastikan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 90 peratus komuniti Felda menerima vaksin, tercapai,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai Felda Neram 2 di sini semalam.
Mohd. Banuri tidak menolak kemungkinan segelintir komuniti Felda menolak vaksin Covid-19, sehubungan itu pelbagai inisiatif turun padang akan terus dilaksanakan dengan kerjasama kepemimpinan Felda bagi memberi penerangan mengenai kepentingan vaksinasi.
“Kita juga akan memperluaskan program outreach ini ke negeri lain di samping mendapatkan statistik penduduk yang belum menerima vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










