PETALING JAYA : Laporan Tahunan Integrasi Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mendapat pengiktirafan Anugerah Emas Australasian Reporting Awards (ARA) 2021 pada majlis yang berlangsung secara maya dari Sydney, Australia pada 18 Ogos lalu.
Kejayaan itu mengulangi pencapaian pada 2017, 2018 dan 2020, selain memperolehi gangsa pada 2016 dan TNB tersenarai sebagai penerima Anugerah Emas bersama 69 syarikat antarabangsa lain.
ARA yang disertai pelbagai organisasi korporat, agensi kerajaan dan NGO dari serata negara Asia Pasifik ini turut meletakkan TNB sebagai pemenang Anugerah Perak bagi kategori Laporan Kelestarian dan Anugerah Khas untuk Laporan Keselamatan dan Kesihatan Kerja.
Menurut laporan kehakiman bagi Anugerah Khas, ARA menyebut Laporan Tahunan Integrasi TNB menyediakan liputan menyeluruh terhadap polisi pengurusan dan tindakan dilakukan bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan warga kerja serta membina budaya keselamatan yang kukuh serta melaporkan secara jujur kemalangan menyebabkan kematian dan kecederaan serta langkah-langkah diambil bagi mengatasinya
Dalam pada itu, Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd. Isa menyifatkan anugerah yang diterima sebagai bukti kepada dedikasi, kerja keras dan semangat kerjasama warga TNB bagi mendapatkan hasil yang cemerlang.
“Semangat kerjasama adalah satu daripada enam nilai teras TNB yang berfungsi mengeratkan perpaduan antara 35,000 warga kerja TNB menuju ke arah aspirasi yang sama iaitu menjadikan TNB sebagai pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” kata Norazni dalam kenyataan.
Anugerah diperkenalkan sejak 1950 itu bertujuan memberi peluang kepada organisasi- organisasi menanda aras laporan tahunan mereka berdasarkan kriteria ARA dengan berpandukan amalan terbaik dunia.
Pemenang anugerah dinilai berdasarkan kecemerlangan keseluruhan Laporan Tahunan, pernyataan menyeluruh aspek-aspek utama perniagaan teras serta menepati keperluan perundangan dan kawal selia yang ada. -UTUSAN ONLINE