Lagi ikan lumba-lumba terdampar di Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Lagi ikan lumba-lumba terdampar di Kuala Perlis

SYAMIL ABDUL RAHMAN (kiri) melihat ikan lumba-lumba terdampar di pesisir pantai, Kuala Perlis, semalam.UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Seekor lagi ikan lumba-lumba seberat kira-kira 180 kilogram dengan panjang 2.8 meter terdampar dan diselamatkan di perairan Kuala Sanglang, berhampiran Kampung Sungai Padang di sini semalam.

Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, ikan lumba-lumba jenis Bottlenose itu ditemukan kira-kira pukul 9 pagi oleh nelayan dan pihaknya menerima maklumat mengenai perkara tersebut sekitar sejam kemudian.

Katanya, apabila tiba di lokasi, pihaknya mendapati ikan yang dianggarkan berusia lima tahun itu tersangkut pada kayu hanyut yang dipercayai menyebabkan haiwan tersebut gagal berenang kembali ke laut.

“Jadi, jurang waktu itu agak lama sebelum bantuan tiba. Bagaimanapun, kami sudah cuba membantu ikan ini dengan memangkunya supaya pasir tidak masuk ke hidungnya selain membersihkan selut di badan serta memayungnya daripada terkena panas terik.

“Kira-kira pukul 11.28 pagi kami bersama nelayan mula mengiringi ikan ini ke laut pada jarak kira-kira 50 meter setelah air mula pasang.

“Biasanya ikan yang terdampar dalam keadaan lemah dan masih berlegar-legar di pesisir pantai, jadi kami akan memantau sebentar sehingga dia sudah boleh mula berenang ke tengah laut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya lagi, peralihan musim barat daya ke timur laut menyebabkan banyak ikan bermain di pesisir pantai selain memburu makanan di kawasan berhampiran.

Sementara itu, beliau memberitahu, ujian makmal daripada sampel ikan yang terdampar mati di perairan Kuala Perlis kelmarin telah diperoleh daripada pihak Marine Mammal Conservation (MareCet) dan mengesahkan ikan tersebut sebenarnya spesies ikan Paus Kogia.

“Ikan ini daripada laut dalam dan merupakan spesies yang jarang ditemui. Menurut MareCet, di Malaysia, spesies itu sebelum ini hanya pernah dijumpai di Kedah, Terengganu dan Sipadan, Sabah.

“Jadi, untuk Perlis, ini kali pertama ikan tersebut ditemukan mati. Kami tidak dapat memastikan berapa usia ikan paus tersebut kerana tidak banyak kajian mengenai spesis Kogia ini,” ujarnya.

Difahamkan, sejak awal bulan sehingga kini sudah ada empat kes ikan terdampar, tiga berjaya diselamatkan manakala satu ditemukan mati. – UTUSAN ONLINE

IKAN LUMBA-LUMBA INDO PACIFIC HUMPBACK

* Warna kelabu dan tompok merah jambu.
* Lazimnya mencari makan berkumpulan.
* Ibu membawa anak dari usia sehari sehingga enam tahun sebelum bersedia mengawan semula.
* Muncung lebih panjang
* Saling membantu mengepung ikan seperti bulatan sepak raga tuju.
* Paling banyak dapat dilihat di Kuala Perlis, Kuala Sepetang dan seluruh Pulau Langkawi.
* Di Malaysia, Indo Pacific Humpback dikira spesies senang dilihat mendahului spesies lain seperti Irrawaddy (lumba sungai) ,finless porpoise (lumba tikus) bottlenose (muncung botol).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN