BALING: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas empat tan daun ketum dianggarkan bernilai RM40,000 yang disyaki cuba ke Kelantan di sekatan jalan raya (SJR) Simpang Jerai, Kupang di sini semalam.
Kedua-dua suspek iaitu pemandu lori berusia 20 tahun dan kelindan, 38, ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kupang menghala Gerik, Perak dengan menaiki sebuah lori kontena jenis Volvo 15 tan kira-kira pukul 2.50 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan lori dinaiki dua suspek terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemukan longgokan 400 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dibalut dengan plastik lut sinar di dalam kontena ,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Baling di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua daun tumbuhan yang ditemukan seberat empat tan itu dianggarkan bernilai RM40,000 berdasarkan harga pasaran negeri ini iaitu RM10 sekilogram.
“Harga pasaran di Kelantan atau selatan Thailand pula boleh mencapai antara RM80 hingga RM120 sekilogram,” ujarnya.
Menurutnya, dua suspek itu difahamkan menerima arahan daripada syarikatnya untuk mengambil barang berupa perkakasan pindah rumah di Pendang dekat sini setelah membuat penghantaran barang yang mereka bawa ke utara.
“Suspek mendakwa meninggalkan lori mereka semalaman pada 7 September untuk memasukkan barangan pindah rumah dan datang semula pada 8 September untuk mengambil lori tersebut serta meneruskan perjalanan ke Kelantan.
“Mereka juga mendakwa tidak menerima sebarang upah untuk membawa barangan tersebut, sebaliknya, semua urusan pembayaran diuruskan oleh syarikat dan juga pemilik barangan atau orang tengah,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan kedua-duanya direman selama empat hari bermula semalam dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE