KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil pendekatan untuk tidak menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, parti berbilang kaum yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ini bakal membentuk kerjasama politik baharu bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diketuai oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kerjasama politik ini dijangka dilancarkan sedikit masa lagi sebagai satu platform untuk mengangkat suara rakyat termasuk golongan anak muda.
Mohd. Shafie berkata, kerjasama itu sejajar dengan hasrat Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia pada tahun ini.
“Kita juga akan melihat mana-mana golongan yang akan membolehkan kerjasama ini dimantapkan sebaik mungkin,” katanya selepas melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Kopungit hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan Warisan melebarkan sayap parti ke Semenanjung Malaysia.
Ahli Parlimen Semporna ini berkata, dalam Perlembagaan Malaysia juga tidak menghalang mana-mana parti berbilang bangsa seperti Warisan memperluaskan sayap ke Semenanjung Malaysia.
Jelas beliau, parti itu sudah mempunyai beberapa tokoh yang akan menjadi penaja di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia.
“Ini akan membolehkan Warisan sebagai sebuah parti berbilang bangsa mengembangkan sayap ke Semenanjung. Kita juga memperjuangkan isu berkaitan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
“Seperti di United Kingdom, mereka mempunyai Parti Buruh dan Parti Konservatif manakala, di Amerika Syarikat mempunyai Parti Demokrat dan Repulikan.
“Jika dilihat kesemua parti ini juga tidak berdasarkan bangsa dan agama yang sepatutnya dihindarkan kerana ia akan membantutkan pembangunan negara. Beginilah cara untuk Warisan bergerak maju ke hadapan,” katanya.
Pada 18 April lalu, Mohd. Shafie memberi bayangan bahawa Warisan akan bekerjasama dengan Muda bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- UTUSAN ONLINE