Kerajaan tiada halangan benarkan taman tema dibuka - Utusan Malaysia

Kerajaan tiada halangan benarkan taman tema dibuka

SANTHARA Kumar melihat rusa yang dipelihara di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan tiada halangan untuk membenarkan taman tema beroperasi bagi tujuan pelancongan domestik.

 

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, bagaimanapun, pembukaannya perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

 

Menurut beliau, tidak ada istilah kebarangkalian taman tema boleh dibuka, sebaliknya ia perlu dibuka.

 

“Apa yang menjadi persoalan pengusaha buat masa ini adalah bila ia dibuka dan bagaimana cara terbaik untuk melaksanakannya. 

 

“Kita tahu taman tema ini penting kerana ia merupakan tempat hiburan keluarga dan kementerian menyedari peranan taman tema sebagai lokasi pelancongan domestik. 

 

“Namun, ada beberapa syarat yang harus patuhi taman tema sebelum boleh beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat taman tema Lost World Of Tambun di sini hari ini. 

 

Turut hadir Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

 

Santhara turut melawat Taman Rekreasi Gunung Lang, Gunung Lang di sini.

 

Menurut Santhara, taman tema boleh beroperasi setelah negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi Covid-19 penduduk dewasa, memandangkan pemain industri pelancongan ketika ini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas. 

 

Beliau berkata, pematuhan SOP di taman tema lebih mudah dikawal dan dipantau berbanding kawasan terbuka seperti di Pulau Langkawi atau lokasi riadah yang lain antaranya kawasan air terjun. 

 

“Keadaan persekitaran taman tema lebih terkawal,  kalau kawasan pantai ia bukan persekitaran terkawal seperti di Langkawi. 

 

“Kalau tempat terbuka sudah dibolehkan (dibuka kepada pelancong), saya yakin dengan tambah baik prosedur dan SOP yang kita cuba buat percubaan, maka taman tema boleh dibuka. 

 

“Proses untuk meneruskannya datang daripada MKN dan saya difahamkan kementerian yang terlibat  sedang mengkajinya, tidak lama lagi akan ada keputusan,” katanya. 

 

Santhara memberitahu, pemain industri taman tema telah menyediakan cadangan dan makluman berkaitan persediaan untuk beroperasi semula. 

 

“Kementerian sedia untuk mempromosikan taman tema apabila ia dibenarkan beroperasi semula dan bekerja sebagai satu pasukan dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya