Kerajaan meterai MoU bersama Pakatan Harapan esok di Parlimen - Utusan Malaysia

Kerajaan meterai MoU bersama Pakatan Harapan esok di Parlimen

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada hari esok, pukul 5 petang di Dewan Bankuet, Parlimen.

Memorandum persefahaman itu bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara, menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Dalam satu kenyataan bersama kerajaan dan pembangkang malam ini, MoU itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amana), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil kepada Utusan Malaysia malam ini.

MoU berkenaan akan diwakili oleh lima wakil kerajaan kerajaan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala pembangkang di wakili oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook , Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang pertama hari ini di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN