PETALING JAYA: Semua rakyat perlu mendapatkan kembali semangat kesatuan nenek moyang terdahulu bagi membebaskan tanah air dari pandemik Covid-19 agar rakyat dapat hidup dengan bebas.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Hari Malaysia pada tahun ini merupakan hari istimewa yang harus diraikan ketika negara sedang beransur-ansur menyingkirkan kegelapan, kesakitan dan ketakutan.
“Sebilangan besar negeri telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, lebih banyak kegiatan ekonomi dibuka kembali dan rakyat yang telah menerima suntikan vaksin yang lengkap dapat menikmati lebih banyak kebebasan.
“Inilah kejayaan yang dicapai hasil pengorbanan semua kakitangan barisan hadapan dan kerjasama setiap warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Dominic Lau berkata, kejayaan itu menunjukkan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan politik dapat bersatu dan membantu antara satu sama lain ketika pandemik Covid-19
Menurutnya, pandemik tersebut telah menyatukan kembali rakyat Malaysia, sama seperti nenek moyang terdahulu yang memperjuangkan demi kemerdekaan dan membina Malaysia bersama.
“Ketika Malaysia sedang beransur-ansur menyingkirkan Covid-19, saya menyedari ramai orang terpaksa menghadapi masalah pendapatan dan masalah pengangguran disebabkan oleh wabak ini.
“Kerajaan perlu menyatakan strategi yang jelas untuk membantu rakyat yang mengalami kerugian besar akibat wabak ini agar dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan negara untuk menangani virus Covid-19,” jelasnya.
Dominic Lau menambah, bersempena Hari Malaysia, rakyat perlu bersatu dan bukannya dibahagikan kepada rakyat Malaysia Timur atau rakyat Malaysia Barat. Kita semua adalah rakyat Malaysia. -UTUSAN ONLINE