PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 91 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 92 kes sebelum ia berubah kepada 115 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 8 pagi hari ini yang berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my.
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku peningkatan sebanyak 250 kes berbanding kelmarin, 116 kes sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 24,931 kes.
Sebanyak 49 daripada 250 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes BID sebanyak 4,887 kes.
Seramai 1,055 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 595 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala pesakit yang perlu ditempatkan di wad adalah seramai 10,121 orang.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Selangor mencatatkan kematian dilaporkan 65 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 10 kes diikuti Sabah (43/14), Johor (41/19), Pulau Pinang (20/13), Sarawak (16/6), Perak (14/6), Kelantan (14/5), Pahang (9/4), Kedah (6/4), Terengganu (6/2), Kuala Lumpur (6/2), Negeri Sembilan (4/2), Melaka (3/3) dan Perlis (3/1).
Bagaimana, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu.
Utusan Online semalam melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 14,554 kes berbanding semalam, 13,754 kes sekali gus diatasi 16,751 kes sembuh.
“Tempat kerja kembali mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 10 kluster Covid-19 daripada 20 kluster, hari ini, manakala Johor menjadi penyumbang terbanyak kluster.
“Selain tempat kerja, komuniti mencatatkan sembilan kluster dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE