Kejayaan, kegagalan MoU bergantung pelaksanaan dalam masa ditetapkan - Guan Eng - Utusan Malaysia

Kejayaan, kegagalan MoU bergantung pelaksanaan dalam masa ditetapkan – Guan Eng

MoU Kerajaan Persekutuan- Pakatan Harapan (PH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kejayaan atau kegagalan memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini bergantung kepada pelaksanaan sepenuhnya seperti yang dijanjikan mengikut aturan masa yang ditetapkan. 

Beliau berkata, di sebalik cabaran ini, rakyat mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan MoU terutamanya Pelan Reset Covid-19 Negara, Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion dan pengecualian pembayaran faedah moratorium selama tiga bulan 50 peratus penduduk negara ini. 

“Pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang melaksanakan langkah-langkah itu adalah hasil kejayaan pertama kepada rakyat yang mendapat manfaat daripada MoU ini.

“Cadangan Kementerian Kewangan untuk menambah Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion menjadi RM110 bilion.  

“Meningkatkan had statutori hutang negara daripada 60 peratus kepada 65 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dapat membantu menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya PKS semasa pembukaan semula ekonomi,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini. 

Maka katanya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa manfaat itu adalah perkara penting daripada MoU yang dilaksanakan. 

“Itu merupakan bahagian penting yang dilakukan oleh PH untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, yang sebelum ini ditolak oleh kerajaan tetapi kini diterima sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan,” katanya. 

Pada 13 September lepas, arena politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya Kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh serta mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN