Kecewa dilarang bergambar di PPV LHDN - Utusan Malaysia

Kecewa dilarang bergambar di PPV LHDN

SAM SUHAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pelakon dan penyanyi, Sam Suhaid kecewa apabila dia dan isteri dihalang daripada merakamkan gambar dan video ketika hadir janji temu suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kluang, di sini pada akhir Ogos lalu.

Sam yang juga Penyelaras Pertubuhan Ikatan Sahabat-Sahabat Perjuangan Nusantara daerah Kluang berkata, dia kecewa kerana larangan itu menafikan hak setiap individu bagi merekodkan bukti mereka dicucuk vaksin Covid-19.

“Pertama, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin sendiri yang sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan kini Menteri Kesihatan menyatakan bahawa dibenarkan untuk merakam ketika divaksin, itu hak kita kerana yang disuntik itu adalah ke dalam badan kita.

“Kedua, tujuan rakam ketika divaksin ini adalah semestinya untuk ketelusan dan keselamatan. Ini juga dapat membantu petugas di PPV sekiranya mereka terlepas pandang ketika suntikan vaksin termasuk picagari yang isinya kosong dan sebagainya.

“Kita boleh rujuk pada petugas PPV bahawa suntikan tersebut kosong berserta dengan bukti video,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, soal proses rakaman akan menyebabkan kelewatan ketika divaksin tidak perlu timbul kerana mengambil masa yang singkat iaitu kurang 10 saat.

Dia mempersoalkan mengapa terdapat ‘double standard’ terhadap rakyat biasa dan sewajarnya proses rakaman suntikan vaksin mampu mempromosi saranan kerajaan bagi mencapai imuniti berkelompok.

“Amaran atau larangan boleh diusulkan sekiranya seseorang itu bertindak secara berlebihan dan kenapa artis, instafamous dan lain-lain boleh rakam ketika divaksin tetapi orang biasa dilarang, kalau untuk tujuan promosi, berjuta rakyat Malaysia yang divaksin boleh promosi tanpa bayaran,” katanya.

Katanya, perkara seperti itu sepatutnya tidak patut berlaku kerana ada kejadian yang berlaku sebelum ini apabila penerima vaksin dicucuk picagari kosong.

“Vaksin ini bukan perkara main-main. Kita sudah bersetuju untuk divaksin dan kita ada hak untuk pastikan kita benar-benar divaksin. Jika picagari tersebut kosong, apa gunanya kita beratur panjang untuk divaksin, bukan tidak pernah berlaku dicucuk dengan picagari kosong.

“Ada juga implikasi sekiranya kita disuntik dengan picagari kosong. Malah dengan bukti rakaman video tersebutlah telah menyedarkan petugas PPV bahawa seseorang itu belum divaksin dan kemudiannya disuntik semula,” katanya.

Sam turut mempersoal mengapa kenyataan PPV LHDN Kluang itu tidak selari dengan kenyataan menteri.

Terdahulu tular di media sosial mengenai arahan daripada individu mendakwa penyelaras PPV LHDN Kluang yang mengundang reaksi bercampur daripada orang ramai mengenai proses rakaman di PPV berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN