Kaunselor sekolah main peranan beri kesedaran, kepentingan vaksin - Utusan Malaysia

Kaunselor sekolah main peranan beri kesedaran, kepentingan vaksin

MOHD. ZAIDI SAID dan SYARIMAN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kaunselor sekolah disaran mengambil pendekatan segera dengan menganjurkan program kesedaran dan kepentingan pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar sebagai langkah mewujudkan suasana persekolahan lebih kondusif. 

Yang Dipertua Majlis Belia Seberang Perai Utara, Syariman Alias berkata, penganjuran program berkenaan secara dalam talian dapat membantu menyebarkan maklumat jelas mengenai kebaikan vaksin terhadap golongan terbabit. 

Menurutnya, kesan daripada pelaksanaan program itu secara tidak langsung dapat mengurangkan keresahan dalam kalangan ibu bapa terhadap kumpulan pelajar yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka nanti. 

“Tidak sepatutnya pelajar di bawah usia 18 tahun menolak pengambilan vaksin kerana kita bimbang risiko penularan jangkitan wabak itu kepada pelajar lain dan guru di sekolah nanti. 

“Tindakan ini secara tidak langsung mewujudkan rasa tidak selesa dalam kalangan ibu bapa pelajar lain selain mewujudkan tanggapan persekitaran di sekolah sudah tidak selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. 

Baru-baru ini, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka untuk menolak suntikan vaksin yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar. 

Dalam pada itu, Syariman turut menggesa masyarakat tidak menyebarkan fahaman negatif berhubung kesan pengambilan vaksin kepada golongan belia. 

“Belia di negara ini digalakkan menambah ilmu pengetahuan tentang kepentingan vaksin dan jangan sesekali mengambil mudah akan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said memberitahu, pihaknya menyokong saranan NUTP Pusat berhubung pemberian vaksin kepada semua guru dan pelajar sebelum sesi persekolahan bermula. 

“Ini amat penting untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 sekali gus memastikan sistem pembelajaran berfungsi dengan baik.

“Meskipun tiada undang-undang yang boleh memaksa pelajar mengambil vaksin, namun kaunselor di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah boleh berperanan memberi kesedaran dan kepentingan vaksinasi kepada mereka. 

“Kita harap semua pihak memahami situasi pandemik ketika ini  dan dapat memberikan kerjasama yang baik supaya ekosistem pendidikan Malaysia tidak terjejas,” ujarnya. 

Dalam masa sama, beliau menambah, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang rungutan daripada guru di Pulau Pinang berhubung  isu penerimaan vaksin tersebut.  – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya