PASIR PUTEH: “Sekali pun bertongkat, berpapah, berkerusi roda, pekak atau bisu, keinginan dan semangat kita untuk meraikan kemerdekaan negara perlu sentiasa kental seperti insan normal.”
Demikian pesan Pengerusi Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insan), Mohd. Ramli Ab. Rahman setiap kali bertemu orang kurang upaya (OKU) di negeri ini yang bernaung di bawah persatuan itu.
Mohd. Ramli kini dalam misi menyantuni ahli Insan sambil mengagihkan Jalur Gemilang dari rumah ke rumah dan sepanjang bulan Ogos, beliau berjaya menemukan 450 keluarga OKU di seluruh Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Ramli menegaskan, kecacatan fizikal tidak sepatutnya membataskan semangat golongan OKU untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64.
“Biarlah orang pandang kita OKU yang terbatas kudratnya, namun jiwa patriotik tetap kental seperti insan normal. Kita juga perlu main peranan mempertahankan kemerdekaan negara yang dinikmati sekarang
“Saya menyeru rakan-rakan OKU supaya tonjolkan semangat cintakan tanah air dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya selepas menyampaikan bantuan alat sokongan kepada beberapa OKU, di sini semalam.
Tambah Mohd. Ramli, sekiranya ada ahli Insan berkelapangan dan tidak terbatas pergerakan, mereka dialu-alukan untuk mengambil sendiri Jalur Gemilang di pejabat persatuan itu yang terletak di Pasir Puteh.
“Sepanjang tahun ini pihak Insan turut mengagihkan sebanyak 15 kerusi roda, 35 tongkat pelbagai bentuk dan barangan keperluan dapur untuk ahli bagi meringankan beban mereka dalam mengharungi musim pandemik.
“Kami bersyukur dengan rezeki yang diterima termasuk elaun bulanan yang disediakan kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami mungkin tidak akan menikmati kemudahan ini jika negara masih dijajah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE