Julung kali langsung tiada lokaliti dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

Julung kali langsung tiada lokaliti dikenakan PKPD

KAWASAN Kampung Paya Mengkuang dikenakan PKPD daripada seorang penduduk yang mencetuskan kluster komuniti. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat kali pertama, tiada mana-mana lokaliti di negara ini yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak diperkenalkan akhir Mac 2020.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Saad malahan turut memaklumkan tiada juga lokaliti yang perlu disambungkan lagi PKPD, sebaliknya hanya satu lokaliti bakal ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan selepas dikenakannya sejak 17 September lepas.

Ia cuma melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Mengkuang dalam Mukim Sanggang, Daerah Temerloh, Pahang yang dihuni sejumlah 700 orang penduduk iaitu sebuah perkampungan didiami etnik Jahut, Jakun dan Semelai yang diisytiharkan ada kluster komuniti pada 13 September lalu daripada seorang penduduk tempatan demam dan hilang deria rasa.

Setakat Rabu lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merekodkan jumlah kumulatif 243 orang positif wabak Covid-19 di lokaliti itu yang terletak hanya 20 kilometer dari bandar Temerloh yang mana perkampungan ini pernah tular tahun lalu kerana ketegasan penduduk gigih membina pagar daripada batang buluh dan pelepah kelapa bagi menyekat orang luar masuk membawa Covid-19.

PKPD mula diperkenalkan pada 27 Mac 2020 lalu dengan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor menjadi lokaliti pertama.

Langkah sekatan pergerakan secara bersasar itu bagi mengekang penduduk di kawasan tersebut bebas keluar dan masuk serta menjangkiti wabak kepada masyarakat di luar pula.

Usaha tegas berkenaan diwujudkan selepas 10 hari seluruh negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat julung kali bagi mengekang penularan pandemik.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN