Johor santuni gelandangan, orang papa dan kutu rayau

Johor santuni gelandangan, orang papa dan kutu rayau

ZAITON ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Golongan gelandangan, orang papa dan kutu rayau di negeri ini terus disantuni melalui beberapa inisiatif untuk memastikan keperluan dan kesejahteraan kehidupan mereka dipertingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, sehingga Jun lalu, sebanyak 86 operasi menyelamat telah dilaksanakan secara bersepadu.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, seramai 124 orang pengemis dan kutu rayau telah diselamatkan.

“Antara usaha yang diambil bagi membantu mereka adalah penempatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mendapatkan pekerjaan, penempatan di rumah atau bilik sewa, menghantar pulang kepada waris dan dirujuk kepada agensi lanjut seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan dan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md. Othman Yusof (UMNO-Kukup) berhubung tindakan diambil untuk mengatasi masalah gelandangan yang meningkat di negeri ini.

Zaiton yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Tambah Zaiton, pihaknya menerusi JKM telah mengambil usaha menyantuni dan menyelamat golongan gelandangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 melalui gerak kerja operasi bersepadu melibatkan 14 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi memastikan golongan ini berpeluang mempunyai pendapatan sendiri, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi telah melaksanakan Program Temuduga Khas Golongan Gelandangan Khas 1.0 Tahun 2021.

“Menerusi program ini, 30 orang telah menyertai sesi temu duga dan seramai 26 telah berjaya ditawarkan pekerjaan di pelabuhan, kilang dan ladang sawit,” ujarnya.

Sementara itu, Zaiton turut memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Johor Bahru sedang giat membangunkan Pusat Transit Gelandangan Negeri Johor di Taman Larkin Perdana yang dijangka siap pertengahan 2022 dengan kos RM7.64 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN