Jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya perlu dipisahkan - Utusan Malaysia

Jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya perlu dipisahkan

HASSAN Abdul Karim (dua kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Jalan Gelam 13, Taman Rinting, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan segera bagi menjadikan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih efektif dalam soal kuasa pendakwaan di mahkamah.

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, jika jawatan Pendakwa Raya menjadi bebas dan berwibawa serta tidak berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, ini akan dapat membantu SPRM dalam memerangi kes rasuah.

 

Beliau berkata, ini kerana ketika ini, SPRM yang menjadi badan menyiasat kes-kes rasuah tidak boleh menjadi pendakwa raya di mahkamah dan banyak kes dilihat terlepas begitu sahaja.

 

“Ketika ini, boleh lihat banyak kes yang disiasat dengan menyeluruh oleh SPRM dan didakwa di mahkamah, tiba-tiba Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara telah menarik semula kes-kes pendakwaan rasuah di mahkamah.

 

“Pegawai Pendakwaan dari SPRM perlukan kuasa izin mendakwa dari Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara. Tanpa surat izin dari Pendakwa Raya, maka, Pegawai Pendakwa SPRM itu tidak ada kuasa untuk mendakwa.

 

“Ini menjadikan rakyat tidak berpuas hati dan mahukan SPRM diberikan kuasa untuk mendakwa kes-kes rasuah di mahkamah. Namun, hasrat itu tidak boleh dilaksanakan kerana sistem pentadbiran dan amalan demokrasi di Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 36 bakul makanan kepada 25 keluarga B40 di Jalan Seroja, Johor Jaya dan 11 keluarga B40 di Jalan Gelam, Taman Rinting di sini.

 

Katanya, jika pemisahan dapat dilakukan, ia akan menjadi perubahan besar bagi memperkasa SPRM untuk memerangi amalan rasuah yang mampu ditingkatkan. 

 

Dengan cara itu, katanya, SPRM akan lebih ‘berkuku dan bertaring’ selain efektif dalam soal pendakwaan di mahkamah serta dapat mengelak pertindihan dan pertembungan kepentingan sekiranya tidak lagi di bawah kuasa Perdana Menteri.

 

Dalam pada itu, Hassan berharap kerajaan Pusat dapat menyalurkan peruntukan RM500 juta pada Belanjawan 2022 bagi projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di negeri ini khususnya di Pasir Gudang.

 

Bagi Pasir Gudang, peruntukan itu diperlukan untuk menangani sungai-sungai yang tercemar selain menaik taraf sekolah-sekolah yang usang dan penambahbaikan fasa akhir Lebuhraya Pasir Gudang.

 

“Fasa akhir kerja menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang yang masih tidak siap dan tergendala sejak kira-kira tiga tahun lalu memerlukan kos kira-kira RM20 juta. 

 

“Peruntukan juga diperlukan untuk mendalam dan melebarkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di beberapa kampung di Masai dan Plentong. Kita dimaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak ada peruntukan ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN