'Jangan sampai dikir barat, wayang kulit lenyap' - Utusan Malaysia

‘Jangan sampai dikir barat, wayang kulit lenyap’

MEGAT Haikal (kiri) mewakili Malaysia dan mendapat tempat keempat dalam pertandingan nyanyian tujuh negara, Dangdut Academy Asia 5 (DAA5) di Indonesia pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perit. Itu rasanya apabila mereka yang sudah bertahun-tahun bergelar penggiat seni tradisional seperti dikir barat dan wayang kulit, secara tiba-tiba terpaksa ‘menggantung’ bakat dan beralih mencari punca rezeki lain akibat Covid-19.

Bukan tukang karut dan tok dalang sahaja, bahkan pemuzik juga perlu ‘menggantung’ alatan. Maka, lenyap seketika bunyi desiran marakas bergabung dengan gong, tetawak, rebana ibu dan anak yang dipalu bersama canang dan kerci, dari bumi Kelantan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Megat Haikal, penyanyi dan pendikir muda yang juga anak kepada pendikir legenda, Allahyarham Megat Nordin mengakui laluan hidupnya berliku dalam tempoh lebih setahun negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Megat Haikal atau nama sebenarnya, Ahmad Marzuki Nordin berkata, biarpun industri seni sudah dibenarkan beroperasi, penggiat seni tradisional di Kelantan tidak mampu bangkit sendiri jika tiada sokongan kerajaan, sama ada negeri atau Pusat.

“Kesenian Kelantan bukan gah macam industri seni arus perdana yang ada sumber kewangan, stesen televisyen, radio dan media untuk mereka bangkit semula. Jika tidak dibantu, saya khuatir lenyap terus nanti dikir barat dan wayang kulit.

“Kami hanya dapat tonjolkan bakat di akaun media sosial peribadi sahaja. Harap sangat kerajaan dapat buka platform, sama ada fizikal atau digital khusus untuk kami buat persembahan dan mempromosi karya seperti sebelum musim pandemik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata pemuda berusia 20 tahun itu, selepas arwah bapanya meninggal dunia pada 2017, dia cuba membantu ibunya menyara keluarga dengan memanfaatkan bakat menyanyi, menjadi tukang karut dan tok dalang serta bermain alat muzik tradisional untuk mencari rezeki.

“Saya baru sahaja tamat tingkatan enam dan sekarang tiada kerja tetap. Mata pencarian saya 100 peratus tertumpu di bidang seni namun sepanjang PKP, nak buat persembahan atau nak berdikir barat di pentas tak boleh. Bila cari kerja lain tak dapat.

“Keluarga kami kini bergantung kepada bapa tiri sebagai anggota polis manakala abang jadi sukarelawan Covid-19. Saya pula cuba cari wang dengan membuat patung wayang kulit serta live streaming mengajar belia untuk jadi tok dalang muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Suara Muda Sri Mattaq, pemuzik tradisional dari Sungai Durian, Kuala Krai memberitahu, hidup 10 ahli kumpulan itu umpama bernafas dalam lumpur ketika menempuh PKP yang berlarutan berbulan-bulan lamanya.

Mohammad Hafiz Omar, 22, berkata, mereka jatuh terduduk kebingungan selepas pendapatan mingguan sekitar RM1,300 yang diraih setiap orang lesap tiba-tiba ekoran larangan membuat persembahan ketika PKP.

“Suka atau tidak, kami terpaksa melakukan apa-apa kerja asalkan halal demi menyara keluarga, termasuk mengambil upah membersihkan kebun, jadi penghantar barang dan berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Menurutnya, walaupun perit, semua ahli Suara Muda Sri Mattaq menguatkan semangat untuk terus istiqamah memperjuangkan seni muzik tradisional yang sudah menjadi darah daging mereka dan mewujudkan saluran Youtube sendiri supaya mereka terus relevan.

Suara Muda Sri Mattaq yang ditubuhkan sejak 2015 dianggotai 10 pemuda berusia 14 hingga 32 tahun sebelum ini ligat membuat persembahan muzik kesenian Kelantan di seluruh negara serta negara jiran seperti Thailand. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya