Industri acara perniagaan wajar dibuka segera - Utusan Malaysia

Industri acara perniagaan wajar dibuka segera

IRMOHIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri acara perniagaan wajar dibuka dan dibenarkan beroperasi segera dengan penelitian bersama pihak kerajaan dan pemain industri.

Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, penelitian bersama antara kerajaan dan pemain industri bidang acara adalah perlu sehingga industri ini dibuka segera. 

“Sekiranya industri ini dilihat dibenarkan beroperasi pada fasa keempat, ia sudah terlambat kerana penderitaan rakyat bukan sahaja dari kerisauan Covid-19, malah, dalam ekonomi rakyat. 

“Industri acara perniagaan ini adalah penyelamat dan kunci kepada negara bagi mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan yang betul,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semalam, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) turut menggesa kerajaan untuk membuka semula sepenuhnya industri acara perniagaan yang telah memenuhi ketetapan vaksin lengkap Covid-19.

Tambah Irmohizam, dari segi pemberian vaksinasi kepada pemain industri ini, boleh dikatakan semuanya sudah lengkap.

“Malah, boleh dikatakan semua pemain industri acara perniagaan telah divaksin sebagai persediaan membolehkan kami beroperasi segera,” katanya.

WTCKL amat berbesar hati untuk melaksanakan percubaan bagi pembukaan industri ini mengikut fasa bermula Oktober ini dengan permulaan seramai 50 peratus pengunjung jika kerajaan memberi peluang kepada WTC KL.

“Ia bukan acara sosial atau perhimpunan awam, akan tetapi berteraskan acara perniagaan yang boleh meransang ekonomi dan imej Malaysia di seluruh dunia.

“Malah, persetujuan jenis dan kaedah acara-acara berteraskan perniagaan ini boleh diperhalusi sebaik mungkin oleh pihak kerajaan. 

“Alangkah baiknya jika perkara ini menjadi agenda teratas dalam senarai pencapaian 100 hari Perdana Menteri kita dalam usaha pembukaan Industri acara perniagaan kerana bukan sahaja nyawa rakyat dapat diselamatkan malahan kesejahteraan hidup bersama dalam konteks Keluarga Malaysia dapat dikecapi serentak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN