Hasni ulangi pendirian Johor perlu ada dalam jawatankuasa khas sempadan - Utusan Malaysia

Hasni ulangi pendirian Johor perlu ada dalam jawatankuasa khas sempadan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengulangi pendirian bahawa negeri itu perlu dilibatkan dalam jawatankuasa khas berkaitan perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan.

Hasni berkata, hal itu penting kerana pembukaan sempadan Johor-Singapura merupakan komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

Katanya, pembukaan sempadan itu akan merancakkan kembali sektor ekonomi tempatan bukan sahaja di pusat bandaraya Johor Bahru, tetapi juga daerah-daerah sekitarnya.

“Sehubungan itu, saya amat berharap agar kerajaan negeri dilibatkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang melibatkan Tambak Johor dan Link Kedua. 

“Jawatankuasa Khas ini antara lain akan memperbanyakkan perbincangan komprehensif mengenai pembukaan sempadan Johor-Singapura berdasarkan perkembangan semasa situasi pandemik Covid-19” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Hasni akan mengemukakan cadangan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdekat untuk membentuk dan mengiktiraf satu jawatankuasa khusus antara Johor-Singapura bagi perbincangan pembukaan sempadan yang mungkin akan membawa khabar gembira kepada 250,000 rakyat yang berulang alik.

Ketiadaan pengiktirafan terhadap jawatankuasa antara kedua-dua pihak itu mungkin menyebabkan proses ke arah pembukaan semula laluan darat ‘paling sibuk’ itu akan memakan masa lebih lama.

Sementara, tambah Hasni, perkara-perkara yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu termasuk pergerakan rentas sempadan.

“Insya-Allah, semoga pergerakan rentas sempadan antara Johor-Singapura boleh diaktifkan kembali dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian. Dalam keadaan pandemik yang terkawal, kita dapat laksanakan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

“Kemungkinan untuk mewujudkan Daily Commuting Arrangement (DCA) ataupun Travel Bubble akan turut dibincangkan melalui Jawatankuasa Khas ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN