Guru tahfiz ambil upah bina rumah - Utusan Malaysia

Guru tahfiz ambil upah bina rumah

IZAMRI Med (baju kelabu) bersama tiga guru tahfiz dan tukang masak Tahfiz Al-Gontory menyiapkan tempahan sebuah rumah di Kampung Sri Kendong, Rembau, semalam -UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hilang punca pendapatan lebih lima bulan lalu disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 menjadikan lima kakitangan Tahfiz Al-Gontory di sini mengubah haluan pekerjaan dengan menjadi tukang rumah.

Ahli Jawatankuasa Tahfiz Al-Gontory, Izamri Med, 44, berkata, dia yang mempunyai pengalaman sebagai tukang rumah telah memberi peluang kepada empat guru tahfiz berkenaan dan seorang tukang masak di tahfiz tersebut untuk sama-sama bekerja dengannya.

Menurutnya, rata-rata sekolah tahfiz atau madrasah mempunyai masalah dalam pemberian gaji kepada kakitangan disebabkan tiada pelajar yang berada di tahfiz pada waktu ini dan yuran juga tidak boleh dikutip sepenuhnya daripada pelajar.

“Terakhir, jumlah pelajar yang berada di tahfiz ini ialah seramai 120 orang dengan tujuh guru tahfiz termasuk seorang tukang masak. Pelajar-pelajar ini berusia 14 hingga 25 tahun dan mereka datang dari sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Lembah Klang.

“Pelajar-pelajar ini fokus kepada bacaan al-Quran, bahasa Arab dan lain-lain lagi, pun begitu pembelajaran secara dalam talian tetap diadakan mengikut jadual subjek yang telah ditetapkan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam menguasai bacaan al-Quran dan hafalan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Kendong, di sini hari ini.

Izamri berkata, peluang yang diberikan kepada guru tahfiz berkenaan adalah bagi membolehkan mereka mencari sumber pendapatan lain selain inisiatif bagi memastikan pendapatan mereka tidak terputus.

Bagaimanapun, menurutnya, dia amat berharap agar pihak kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada pusat tahfiz untuk beroperasi bagi memastikan semua pelajar tahfiz tidak ketinggalan serta tahfiz juga dapat keluar dari kemelut masalah kewangan.

“Harapan saya agar kerajaan sudi mempertimbangkan agar sekolah tahfiz, madrasah dapat di buka semula. Seperti yang kita ketahui, panggung wayang telah diberikan kebenaran untuk di buka.

“Jadi, kalau boleh, beri kelonggaran yang sama kepada pusat tahfiz dan madrasah untuk beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang wajar.

Menurutnya, langkah berkenaan bukan hanya membantu pelajar tahfiz untuk tidak ketinggalan dalam pembelajaran, bahkan kepada warga pekerja serta guru tahfiz yang kini kehilangan pendapatan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN