Guan Eng minta lebih banyak Hospital Medan dibuka di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Guan Eng minta lebih banyak Hospital Medan dibuka di Pulau Pinang

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan disarankan membuka lebih banyak Hospital Medan dengan kelengkapan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pulau Pinang memandangkan penggunaan katil ICU mencecah 96.6 peratus pada masa ini. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Hospital Medan itu perlu dipertimbangkan di kawasan seperti Seberang Jaya, Nibong Tebal dan Balik Pulau di sini kerana negeri ini masih merupakan kawasan panas Covid-19 yang paling teruk terjejas, dengan jumlah kematian tertinggi dan jumlah kes per kapita kedua tertinggi di negara ini. 

Selain itu katanya, Pulau Pinang juga mencatatkan penggunaan ventilator dan katil ICU kedua tertinggi masing-masing pada 73.3 peratus dan 96.6 peratus dan menyumbang kepada angka kematian yang tinggi. 

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin boleh menggunakan dana tambahan RM5 bilion yang diperuntukkan kepada kementeriannya sebagai sebahagian daripada suntikan dana RM45 bilion untuk memerangi Covid-19 dan kemelesetan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pada masa ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dalam proses untuk membina Hospital Medan di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini. 

Operasi pembinaan Hospital Medan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari dan sesi ujian penuh (dry run) dijangka pada Khamis depan. 

Menurut Guan Eng,  kadar positiviti untuk tujuh hari kekal tinggi pada 19 peratus di Pulau Pinang dan hampir empat kali melebihi lima peratus yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Perkara ini menunjukkan ujian tidak mencukupi dan perlunya ujian saringan massa dilaksanakan untuk langkah pencegahan yang lebih berkesan terhadap kluster Covid-19. 

“Sekurang-kurangnya sehingga kadar jangkitan turun di bawah 1.0, menunjukkan bahawa penyebaran Covid-19 semakin perlahan di Pulau Pinang,” katanya. 

Dalam pada itu, bekas Menteri Kewangan itu berkenaan berkata, warga Pulau Pinang berterima kasih di atas pembinaan Hospital Medan yang terdiri daripada 96 katil dan empat katil ICU di HPP oleh ATM. 

“Selain itu, 300 pesakit bukan Covid-19 daripada hospital awam juga dipindahkan ke hospital swasta untuk memberi lebih banyak ruang untuk pesakit Covid-19 di hospital awam,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN