LANGKAWI: Pelaksanaan gelembung pelancongan di pulau peranginan ini perlu dilakukan secara berhati-hati berikutan kadar kes aktif dan kes harian Covid-19 masih tinggi di sini.
Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, langkah tersebut perlu diambil kira faktor keselamatan penduduk dan pelancong yang bakal berkunjung di pulau ini.
Menurutnya, kebanyakan pemain industri pelancongan menaruh harapan yang tinggi untuk membenarkan Langkawi dibuka semula pada September ini.
“Tetapi, kita perlu ambil kira faktor keselamatan, kita bimbang bila kes tinggi di Bukit Malut sejak Ogos lalu sehingga PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) perlu dilaksanakan.
“Walaupun penting untuk jana ekonomi, tapi dalam masa sama, kesihatan dan nyawa perlu dititikberatkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun Langkawi telah mencapai imuniti kelompok, bilangan kes aktif dan kes harian baharu juga menjadi salah satu indikator utama pemilihan tarikh pembukaan semula pulau ini kepada pelancong.
Katanya, setakat ini, laporan jumlah pemberian vaksinasi Covid-19 menunjukkan sebanyak 65,148 orang telah menerima vaksin lengkap atau 85.3 peratus daripada 76,400 orang penduduk yang layak menerima vaksin.
Tambahnya, bagi mengurangkan penularan disebabkan aktiviti pelancongan, pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengambil langkah untuk memperkenal kempen MySafe Langkawi bagi meningkatkan keyakinan pengunjung,” ujarnya.
“Di bawah kempen tersebut, LADA telah mengadakan kursus yang membincangkan prosedur operasi standard (SOP) secara lebih terperinci kepada pemain industri pelancongan bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk menerima kunjungan pelancong.
Pada 31 Ogos lalu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, tarikh cadangan pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi pada 16 September ini.
Menurutnya, tarikh pembukaan pulau peranginan itu sepatutnya bermula 1 September namun ditangguhkan berikutan kes harian Covid-19 masih tinggi di pulau peranginan tersebut. -UTUSAN ONLINE