Fasa endemik bukan maksud mengaku kalah - Utusan Malaysia

Fasa endemik bukan maksud mengaku kalah

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peralihan kepada fasa endemik yang dijangka dapat dimulakan pada akhir Oktober depan menggantikan situasi pandemik, bukan bermaksud negara mengaku kalah.

Sebaliknya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, banyak negara turut sependapat perubahan fasa senario Covid-19 itu ekoran mustahil mencapai langsung sifar kes baharu.

“Saintis seluruh dunia sendiri mengesahkan dengan adanya varian Delta dan pelbagai lagi varian lain, agak sukar untuk capai terus komuniti kelompok secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan tertinggi kementeriannya mengenai pelbagai isu berkaitan Covid-19.

Minggu lalu, beliau memaklumkan seluruh negara bakal memasuki fasa endemik iaitu hidup dengan masih ada Covid-19 walaupun mencapai lebih 80 peratus populasi lengkap divaksin.

Contoh terbaik ialah Labuan yang telah pun 100 peratus penduduk dewasa di pulau tersebut menerima dua dos vaksin, namun penyakit tersebut masih ada mencatatkan kes setiap hari.

Mengulas lanjut, Khairy turut merujuk negara jiran, Singapura selain Australia dan New Zealand yang sebelum itu berbangga merekodkan sifat kes tetapi kemudian tetap ada kes baharu.

“Saya berasa tiada negara yang masuk fasa endemik bererti mengaku kalah, bahkan kita harus sedia adaptasi kehidupan dengan amalan norma baharu bagi kekang jangkitan,” katanya.

Apatah lagi ujarnya, penularan wabak itu bergantung kepada tingkah laku kita sendiri dalam tempoh dua bulan akan datang meskipun seluruh penduduk di negara ini lengkap diimunisasi.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat agar terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang walaupun tampak remeh seperti pakai pelitup muka, tetapi ia memberi kesan amat besar.

Malah Khairy berpendapat, usaha penghapusan Covid-19 secara menyeluruh memerlukan banyak masa dengan inisiatif vaksinasi sahaja tidak menjamin penerima dilindungi daripada dijangkiti.

Beliau memberi contoh Israel, negara pertama di dunia apabila semua warganya lengkap vaksin tetapi kini merekodkan kadar jangkitan tertinggi yang mengejutkan antarabangsa.

“Begitu juga kelonggaran di gimnasium, bukan tidak bagi dibuka walaupun ada jarak fizikal, tetapi sistem pengudaraan tertutup jadi sebab kita bimbang berlaku penularan,” tegas beliau.

Ditanya adakah kerajaan akan membuat peraturan mewajibkan rakyat mendapatkan vaksin, beliau berkata, setakat ini belum ada keputusan sampai kepada peringkat mandatori.

Bagaimanapun, usaha itu mungkin lebih sesuai dilaksanakan secara bersektor yang bersasar seperti guru kerana perlu banyak berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar di sekolah.

Pada masa sama, beliau memuji usaha kerajaan Sabah mewajibkan semua penjawat awam di negeri itu lengkap diimunisasi bagi memberi keyakinan kepada rakyat ketika berurusan.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN