Eksesais Malapura perkasa kerjasama pertahanan di laut Malaysia - Singapura - Utusan Malaysia

Eksesais Malapura perkasa kerjasama pertahanan di laut Malaysia – Singapura

KAPAL TLDM dan TLRS yang menyertai Eksesais Malaysia-Singapura atau Malapura di perairan Selat Melaka baru-baru ini. - UTUSAN/IHSAN TLDM LUMUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jalinan kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) terus diperkasakan dan kekal utuh menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Singapura (Malapura) 29/2021 yang berlangsung di sekitar perairan Selat Melaka baru-baru ini. 

 

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, eksesais bilateral tahunan kali ke-29 itu berkonsepkan Eksesais Latihan di Medan (Field Training Exercise) (FTX) dilaksanakan mulai 20 September lalu dan berakhir hari ini.

 

“Objektif eksesais ini adalah memperkasakan kesefahaman dan meningkatkan kesalingan kendali antara kedua-dua pasukan.

 

“Begitupun, dalam mendepani pandemik Covid-19, pelaksanaan eksesais yang hampir menjangkau usia empat dekad ini dilaksanakan berpandukan norma baharu secara dalam talian bagi peringkat perancangan, pembukaan dan penutup serta beberapa siri latihan di laut dilaksanakan secara tanpa sentuhan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

  

Menurut kenyataan itu, antara siri latihan yang berjaya direalisasikan meliputi peperangan anti-serangan udara, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot. 

 

Jelasnya, kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan tahap persediaan warga kedua-dua angkatan laut.

 

Kenyataan itu memberitahu, bagi menyemarakkan persahabatan, kedua-dua angkatan laut mempamerkan komitmen dan persefahaman yang jitu menerusi penglibatan empat buah aset TLDM, iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Lekir, KD Handalan serta helikopter Super Lynx, selain Bot Tempur Cepat TLDM.

 

Pasukan  TLRS pula menampilkan kapal RSS Stalwart, RSS Vigilance dan RSS Vigour serta helikopter S-70B.

 

Selain itu, pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut serta menjayakan eksesais tersebut menerusi penglibatan pesawat pejuang F/A 18D dan Hawk.

 

“Secara keseluruhan eksesais kali ini berjaya memenuhi objektif yang telah digariskan. 

 

“TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat bagi memastikan keselamatan perairan serantau sentiasa terjamin sepanjang masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN