BATU PAHAT: Dua syarikat perusahaan mikro di daerah ini menerima geran Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, geran berjumlah RM61,000 itu diperuntukkan kepada syarikat Bio Star Resources dan T&M Mee Siput atas sumbangan inovasi mereka menghasilkan kopi Liberica dan mee siput.
Katanya, kedua-dua syarikat itu merupakan antara pemain industri yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan juga negara melalui penghasilan produk tempatan berkenaan.
“Syarikat Bio Star Resources telah bekerjasama dengan kumpulan penyelidik daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selama enam bulan bagi membangunkan mesin memproses kopi jambu dan kopi padi.
“Manakala syarikat T&M Mee Siput juga bekerjasama selama enam bulan dengan kumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mencipta sebuah mesin membuat mee siput,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noraini, sejak PPRN diperkenalkan pada 2015, sebanyak 660 projek PPRN dengan jumlah peruntukan melebihi RM 20 juta telah diluluskan oleh KPT dengan manfaatnya dinikmati pelbagai syarikat tanpa mengira saiz sama ada mikro, kecil atau besar mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
“Kerjasama strategik sebegini amat dialu-alukan supaya lebih banyak lagi syarikat dapat dibantu, selain memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Para akademik digalakkan untuk mendekati masyarakat bagi membantu dalam penghasilan inovasi proses ataupun produk.
“Selain itu, pemindahan teknologi yang dihasilkan melalui pelaksanaan projek PPRN adalah selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0. Pemindahan teknologi ini diharapkan dapat diadaptasi dan diaplikasi oleh penerima-penerima geran PPRN bagi memastikan industri tersebut kekal lestari dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah Noraini, industri yang mempunyai permasalahan teknologi dan penyelidik berpengetahuan serta kepakaran diharap dapat mengambil peluang untuk tampil sebagai rakan kerjasama strategik, dan mengemukakan permohonan projek bagi mendapatkan geran PPRN.
“Kerjasama ini boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada pihak industri, bahkan kepada semua pihak, penyelidik akan mendapat peluang untuk meningkatkan kompetensi mereka sebagai tenaga pengajar di IPT,” katanya. -UTUSAN ONLINE