Dua lelaki maut van langgar belakang treler - Utusan Malaysia

Dua lelaki maut van langgar belakang treler

KEADAAN van dinaiki dua mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan setelah melanggar sebuah treler di Kilometer 331.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Tapah hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Dua lelaki termasuk seorang warga Filipina maut setelah van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 331.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Nahas sekitar pukul 12.54 tengah hari itu mengorbankan Collins Prestly Primus, 29, dan lelaki warga asing, Relano Gemar, 35, akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika van dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Bukit Kayu Hitam manakala treler tersebut pula dari arah Setia Alam ke Ipoh.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, van dipandu lelaki berusia 31 tahun itu hilang kawalan dan melanggar belakang sebelah kanan treler berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, nahas berlaku ketika treler tersebut berada di laluan kiri dan hendak berhenti di lorong kecemasan sebelum sebuah van hilang kawalan lalu melanggar kenderaan tanpa muatan itu.

“Relano yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di tempat kejadian manakala rakannya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tapah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu van tersebut tidak cedera manakala seorang lelaki yang duduk di bahagian belakang van cedera ringan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Pemandu van tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN