KUALA TERENGGANU: Dua banduan Penjara Marang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lagi banduan bulan lalu.
Tertuduh, Adura Mustapha, 39, dan Azizul Danial Muhammad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memukul Hamiddi Kamaruddin, 48, hingga menyebabkan kematian lelaki itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik R8, Zon 2, Penjara Marang di Marang kira-kira pukul 2 petang pada 21 Ogos lalu.
Hamiddi yang berasal dari Hulu Terengganu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini enam hari kemudian akibat jangkitan kuman daripada kecederaan di kepala dan dadanya.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 November depan. – UTUSAN ONLINE










