MELAKA: Diskriminasi terhadap kaum wanita khususnya dalam isu penetapan gaji dan perjawatan teknikal serta profesional di negara ini perlu dipantau dan dihentikan segera.
Menegaskan perkara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, cadangan kerajaan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan proses membuat keputusan adalah sangat dihargai dengan penyertaan wanita ke pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.
Beliau berkata, bagaimanapun, hasil laporan dan maklumat yang diterima, masih wujud sikap segelintir pihak yang mempunyai minda kelas ketiga mendiskriminasi wanita di era teknologi yang serba maju.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebentar tadi, khususnya terhadap pelan pembangunan untuk golongan wanita.
“Satu pembentangan yang bersifat inklusif dan mampan selari dengan matlamat Kerajaan Keluarga Malaysia.
“Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar satu usaha dan tindakan yang komprehensif daripada pihak kerajaan dapat dilakukan bagi mengekang isu ini menjadi amalan tidak sihat majikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan, usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan pembabitan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.
Ismail Sabri berkata, penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.
Katanya, akses kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan juga akan dipertingkat. -UTUSAN ONLINE