PETALING JAYA: DAP menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sekiranya beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat menggantikan Datuk Azhar Azizan Harun.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, justeru parti itu bersedia membincangkan reformasi Parlimen bersama Azalina termasuk mengadakan perbincangan bersama Ahli Parlimen Pengerang itu mengenai recall election dan undang-undang antilompat parti.
Katanya, Timbalan Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo telah bertemu dengan Azalina baru-baru ini.
“DAP bersedia berbincang lebih jauh dengan Azalina jika beliau serius untuk mengemukakan namanya menggantikan Azhar Azizan bagi mengembalikan imej dan kredibiliti Parlimen yang telah dirosakkan oleh sikapnya yang tunduk kepada kuasa Eksekutif.
“DAP juga ingin mendapatkan pandangan Azalina tentang bagaimana beliau akan menggunakan jawatan Yang Dipertua Dewan secara berbeza berbanding peranan ditonjolkan oleh Azhar Azizan.
“Parlimen tidak boleh terus hilang atau bergerak dalam vakum politik dengan Speaker terus memainkan peranan untuk hanya patuh dan bersetuju semata-mata bagi mempertahan Perdana Menteri,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Guan Eng menggesa Azalina menyusun rancangan jika dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengelakkan Parlimen menjadi sekadar “cop getah” kepada Perdana Menteri dan mengangkat taraf Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama yang membawa perubahan positif dalam kehidupan, tambahnya.
Beliau berkata, DAP turut bersetuju dengan cadangan Azalina agar seorang Ahli Parlimen pembangkang dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat.
“Kami mencadangkan bekas Timbalan Speaker dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk jawatan itu yang baru-baru ini dikosongkan oleh Azalina,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE










