DAP sedia hadapi pengundi 18 tahun - Utusan Malaysia

DAP sedia hadapi pengundi 18 tahun

Young Shefura
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Sedia hadapi undi anak muda’.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang itu berkata, untuk itu pihaknya akan bekerja keras mendapatkan kepercayaan anak-anak muda.

“Suara mereka adalah penting dan perlu didengari. Setiap dasar yang dibuat kerajaan yang berkaitan dengan anak muda harus mempunyai suara anak muda mendukung dasar-dasar tersebut,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuching Sarawak mengarahkan kerajaan melaksanakan pindaan undi 18 (Undi18) sebelum 31 Disember ini.

Pemohon semakan kehakiman itu, Ivan Alexander Ong, 19, berkata, pelaksanaan penurunan had umur mengundi itu membolehkan kira-kira 135,000 anak muda Sarawak berusia 18 hingga 20 tahun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sejurus berakhirnya Ordinan Darurat di Sarawak.

Young Syefura berkata, belia berusia 18 tahun kini telah matang pemikiran mereka dan lebih berfikiran jauh kerana lebih terdedah kepada perkembangan dunia luar melalui internet dan juga media sosial.

Menurut data terkini ACE Electoral Knowledge Network, sebanyak 208 negara telah membenarkan individu berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi dan bertanding dalam pilihan raya, tertakluk kepada syarat dan perundangan masing-masing.

Malaysia merupakan salah satu daripada tujuh buah negara yang hanya membenarkan individu berusia 21 tahun ke atas untuk mengundi dan bertanding selain negara-negara seperti Kuwait, Lebanon, Oman, Samoa, Singapura dan Tonga.

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pula berpandangan, keputusan itu bukan sahaja perlu dihormati, malah Undi18 wajar dilaksanakan segera setelah sekian lama tergendala.

Beliau juga menyifatkan UMNO perlu lebih berani menyesuaikan diri dengan landskap politik yang semakin remaja dengan segmen pengundi yang pelbagai.

“Aspirasi mereka yang berusia 20-an mesti dijiwai dengan bercakap dan berjuang tentang isu-isu yang dekat dengan hati mereka, seperti soal pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Minat mereka dari hobi sehinggalah ke muzik yang mereka dengari, UMNO perlu lebih cakna terhadap hal sebegini. Yang tentu, mereka mahu mendengar apa tawaran masa hadapan dari UMNO. Bukan soal pertelingkahan politik mahupun nostalgia semata-mata,” katanya.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Dalam pada itu, pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi memastikan hak orang muda terus dipelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN